Monday, 23 April 2012

Rezeki jus mengkudu


Wan Salamah Zakaria (kanan) menunjukkan produk kesihatan yang diperbuat daripada mengkudu.



KOTA BHARU 17 April - Kecewa dengan tindakan sebuah syarikat yang mungkir janji untuk membeli daun dan buah mengkudu yang diusahakannya, Wan Salamah Zakaria, 59, dari Kampung Lancang, Ketereh dekat sini, nekad memproses sendiri bahan tersebut untuk dijadikan minuman kesihatan.

Berkat kesabaran dan kesungguhannya, Wan Salamah, ibu tunggal kepada sembilan orang anak, akhirnya mampu mengeluarkan jus mengkudu menggunakan jenama De Salama sejak lima tahun lalu.

Pemilik syarikat SM Positif Enterprise yang berpangkalan di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu memberitahu, pada awalnya syarikat hanya mampu menghasilkan 200 botol jus mengkudu untuk kegunaan pesakit kencing manis dan darah tinggi sekitar kawasan kampungnya.

Bagaimanapun berdasarkan sambutan menggalakkan penduduk, pihaknya telah meningkatkan pengeluaran dan sehingga kini mampu menghasilkan kira-kira 5,000 botol jus berkenaan sebulan bergantung kepada tempahan yang diterima.

"Saya mendapati kesihatan pesakit yang meminum jus berkenaan semakin bertambah baik dan keadaan itu mendorong saya untuk meningkatkan pengeluaran produk," katanya ketika ditemui di sini, semalam

Pengusaha francais perlu pelbagaikan bidang

KUALA LUMPUR 22 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa semua pengusaha francais baharu tidak terlalu menumpukan bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman.

Ini kerana bidang perniagaan francais adalah amat luas terutamanya dalam bidang perkhidmatan. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini sebanyak 34 peratus industri francais didominasi oleh perniagaan makanan dan minuman.

Katanya, masalah ini berlaku berikutan kurangnya kesedaran di kalangan pengusaha industri. Malah, katanya, para francaisi juga didapati terlalu taksub dalam bidang perniagaan makanan dan minuman yang didapati lebih berpotensi untuk mengaut keuntungan.

"Pada tahun ini, kami mahu memberi tumpuan kepada perkembangan bidang-bidang perniagaan yang lain bagi menjadikan industri francais lebih berkembang,'' katanya.

Wednesday, 11 April 2012

Resepi Sagon Bakar :


Bahan utama
  • 350 gram kelapa parut
  • 500 gram tepung sagu
  • 150 gram margarin
  • 250 gram gula pasir
  • 1 kuning telur
  • 1/2 sudu teh vanila
  • 1/2 sudu teh garam

Cara Membuat Sagon Bakar :
  1. Kacau margarin sampai berwarna pucat. Masukkan kuning telur, kacau sehingga sebati.
  2. Campur semua bahan kecuali tepung. Pukul gula sehingga larut. Masukkan tepung, campur rata, masukkan ke margarin, telur, aduk rata.
  3. Panaskan oven 160°C. Tuang adonan pada loyang yang di sapu margarin setebal 4 mm.
  4. Masak sampai berwarna kecoklatan.

Usahawan wanita perlu berani ubah minda untuk berjaya




DR. Mahathir Mohamad meluangkan masa membacakan buku cerita dalam bahasa Inggeris kepada sebahagian kanak-kanak sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama di Melaka, semalam.



MELAKA 26 Okt. - Usahawan wanita terutamanya yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) perlu berani melakukan perubahan dari segi cara berfikir sekiranya ingin melihat produk yang dihasilkan mendapat pasaran di peringkat global.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usahawan wanita kini berdepan dengan cabaran globalisasi yang semakin kompleks yang memerlukan golongan itu melakukan perubahan minda.
"Usahawan wanita kini perlu lebih berani dan berfikiran terbuka serta perlu melihat negara maju yang lain sekiranya mereka ingin berjaya dan tidak hanya bertumpu di kampung sendiri sahaja. 

"Paling penting, memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk, Perubahan Minda di Kalangan Usahawan Wanita IKS dalam Menghadapi Era Globalisasi sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama (1WBC) 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar. 

Dr. Mahathir berkata, selain perubahan minda, usahawan wanita tempatan juga perlu mengaplikasikan kemudahan teknologi seperti Internet yang menjadi medium berkesan dalam mempromosikan produk ke seluruh dunia.

"Pada masa ini, apa yang paling penting dalam menjalankan perniagaan adalah berfikir, berkomunikasi dan bergerak dengan pantas ke mana sahaja dan penggunaan Internet adalah cara paling berkesan," katanya.

Melalui internet, kata Dr.Mahathir, usahawan wanita dapat mengiklankan dan mempromosikan produk mereka jauh lebih murah dan dapat dicapai oleh seluruh penduduk dunia berbanding dengan menggunakan media cetak dan elektronik yang jauh lebih mahal.

Dr. Mahathir berkata, aktiviti perniagaan kini banyak dilakukan secara dalam talian dan digemari pembeli kerana ia menjimatkan masa.

Jesteru, katanya, usahawan perlu merebut peluang itu dengan memperluaskan penggunaan Internet dengan turut menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui kad kredit dan khidmat penghantaran yang selamat kepada pembeli dalam tempoh yang singkat.

Selain itu, katanya, penggunaan teknologi moden dalam menghasilkan produk yang diusahakan juga perlu bagi meningkatkan serta mempercepatkan proses pengeluaran yang menjadi aspek penting untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, bagi menghadapi era globalisasi, usahawan perlu melangkah ke hadapan dengan meningkatkan jumlah pengeluaran produk dan tidak lagi mengeluarkan produk pada skala kecil selain memperbaiki kualiti dan pembungkusan bagi menarik minat pengguna.

"Usahawan perlu meningkatkan kualiti dari segi rasa, bentuk, pembungkusan dan saiznya supaya dapat bersaing dengan ratusan produk lain yang berada di pasaran. 

"Dengan cara ini, produk kampung seperti keropok lekor juga boleh dikembangkan pasarannya ke peringkat antarabangsa," katanya.

Keropok lekor, kerepek ke United Kingdom

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Pelbagai jenis makanan tradisional negara akan menembusi pasaran United Kingdom (UK) terutama di Brighton dan London bulan depan.

Produk seperti ikan bilis, udang kering, keropok lekor, keropok kering, kerepek pisang, kerepek ubi serta beraneka jenis rempah ratus dijangka mula dipasarkan di Brighton pertengahan Disember ini atas inisiatif Glocal Link Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Othman Ahmad berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak yang berkenaan di Brighton dalam waktu terdekat ini sebelum membekalkan produk-produk tersebut di pasaran.

Beliau memberitahu, pada setiap minggu, sebanyak tujuh buah kontena yang membawa muatan ikan bilis dan udang kering akan dibekalkan ke Brighton untuk dipasarkan.

Selain itu, jelasnya, empat kontena mengandungi kerepek pisang, kerepek ubi, keropok lekor dan keropok kering di samping rempah ratus juga akan dihantar ke bandar raya itu setiap minggu mulai bulan depan.
"Buat masa ini, kita sudah berbincang dengan kerajaan UK serta pihak-pihak yang berkaitan di Brighton untuk pasaran produk makanan tempatan kita di sana. Selepas Brighton, kita akan perluaskan di kota raya London pula," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas mengetuai program turun padang dan mengadakan pertemuan dengan usahawan-usahawan kecil termasuk ibu tunggal dan ahli Koperasi Ummu Wahidah Terengganu (Kuwat) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keusahawanan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Abdul Ghafar Musa serta wakil-wakil dari agensi berkaitan termasuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Konsortium Industri Kecil Sederhana Sdn. Bhd.

Othman berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 320 buah outlet milik peniaga berketurunan Pakistan dan India di sekitar Brighton untuk memasarkan produk berasaskan makanan Malaysia.

Malah, katanya, pihaknya juga turut mengenal pasti lebih 700 outlet lagi di serata kota raya London bagi tujuan yang sama.

Beliau menjelaskan, usaha yang proaktif itu dilakukan berikutan permintaan tinggi terhadap produk seumpama itu di negara berkenaan.

"Kita kena lipat gandakan usaha untuk bawa produk tradisional kita ke UK setelah ada permintaan tinggi di sana," katanya sambil menambah, produk itu mendapat sambutan kerana kelebihan Malaysia yang terkenal dengan label makanan halal.

Othman berkata, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk seumpama itu ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Oman; Qatar dan Bahrain.

Tuesday, 10 April 2012

Usahawan IKS gagal manfaat dana pinjaman francais mikro

BERA 25 Mac — Para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) digesa mengambil peluang menceburi bidang perniagaan francais yang berpotensi untuk berkembang pesat dan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menyokong bakal usahawan yang berminat dengan industri berkenaan dengan memperkenalkan dana pinjaman francais mikro yang boleh dipohon menerusi Perbadanan Nasional Bhd.

"Kerajaan memperuntukkan RM8 juta di bawah dana tersebut dan setakat ini hanya RM2 juta baharu dipohon.

"Menerusi perniagaan francais, perniagaan mereka boleh berkembang dengan lebih jauh, sehingga ke peringkat antarabangsa, dan banyak produk tempatan yang sebelum ini tidak dikenali dapat dikomersilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan restoran makanan segera Marrybrown cawangan Bera di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, kira-kira 30 perniagaan francais jenama tempatan berjaya menembusi pasaran di 50 negara di seluruh dunia.-BERNAMA

Francais: Penglibatan masih kurang

KUALA LUMPUR 1 April - Penglibatan rakyat negara ini dalam industri francais masih kurang meskipun telah banyak usaha dilakukan kerajaan bagi mempromosikan industri berkenaan.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Abdul Malik Abdullah berkata, sebagai contoh, hanya RM1 juta daripada RM8 juta peruntukan bagi skim pinjaman mudah yang diberikan kerajaan digunakan selepas sembilan bulan ditawarkan.

Katanya, pinjaman bertujuan menggalakkan kumpulan berpendapatan rendah melibatkan diri dalam francais kecil dan mikro itu dipandang sepi mungkin disebabkan maklumat terhadapnya tidak disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat umum.

"Sehubungan itu, kini menjadi peranan golongan media untuk menghebahkan perkara ini kepada semua supaya industri francais dapat makmur bersama industri-industri lain," katanya ketika berucap pada Pertandingan Boling Francais Bersama Media, di sini hari ini.

Penutupan pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Turut hadir, pengerusi penganjuran pertandingan, Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO (BEPU), Datuk Sohaimi Shahadan.

Pada pertandingan itu, kategori perseorangan dan berpasangan dimenangi pasukan dari SME Bank manakala kategori trio dimenangi pasukan Sinar Harian. Masing-masing membawa pulang sijil, trofi dan hamper.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan dana kepada Yayasan Make A Wish bernilai RM10,000 bagi membantu kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik di negara ini.

Sementara itu, jelas Abdul Malik, Franchise International Malaysia 2012 yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dijangka dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.

"MFA amat bersyukur dengan pelbagai pendekatan kerajaan dalam memperkasakan industri francais termasuk mengecualikan cukai bagi setiap pembelian francais pada tahun ini," ujarnya.