Ketua Pegawai Eksekutif Marditech Corporation Sdn. Bhd., Anas Ahmad Nasarudin berkata, terdapat pelbagai sektor industri tersebut yang boleh diterokai termasuk mengusahakan tanah terbiar untuk penternakan dan tanaman padi.
"Stok segar keluaran dalam negeri kita rendah, pengeluaran susu hasil petani tempatan cuma lima peratus dan kambing hanya lapan peratus setahun.
"Inilah peluang untuk kita manfaatkan. Sekiranya perlu, pengusaha boleh merujuk kepada kementerian dan agensi-agensi terlibat bagi mendapat penerangan sebaiknya," katanya pada Majlis Penutup Persidangan Perniagaan Agro-Bio 2012 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Persidangan kali kelapan sempena Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2012 itu menyaksikan pembentangan 15 kertas kerja daripada pengusaha industri tempatan dan antarabangsa.
Bertemakan Peluang-peluang Ketika Krisis Makanan Globa', seramai 100 delegasi daripada agensi kerajaan dan persatuan petani membincangkan peluang yang dimiliki industri pertanian dan makanan secara langsung dan tidak langsung ketika berlakunya krisis makanan global.
Jelas Anas, selain itu terdapat juga sektor-sektor baru yang boleh diketengahkan termasuk mengusahakan cucuk tanam di negara lain terutama Vietnam memandangkan ruang pertanian di negara ini terhad.
Beliau berkata, penekanan terhadap sektor tanaman padi terancang turut mampu memberi kelebihan terhadap negara di samping peningkatan pengeluaran stok segar seperti daging kambing mampu memastikan bekalan berterusan kepada rakyat.
Justeru, beliau meminta pengusaha untuk terus mendokong usaha-usaha kerajaan di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) Pertanian yang merupakan perancangan yang baik untuk kemakmuran negara ketika krisis.
"Saya yakin kita dapat menempuhi semua ini melalui sikap proaktif dalam menjayakan dasar kerajaan. Ia terletak pada bahu kita untuk melaksanakannya," ujarnya.