
DR. Mahathir Mohamad meluangkan
masa membacakan buku cerita dalam bahasa Inggeris kepada sebahagian
kanak-kanak sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan
Pertama di Melaka, semalam.
MELAKA 26 Okt. - Usahawan wanita terutamanya yang
terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) perlu berani
melakukan perubahan dari segi cara berfikir sekiranya ingin melihat
produk yang dihasilkan mendapat pasaran di peringkat global.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usahawan
wanita kini berdepan dengan cabaran globalisasi yang semakin kompleks
yang memerlukan golongan itu melakukan perubahan minda.
"Usahawan wanita kini perlu lebih berani dan berfikiran terbuka serta
perlu melihat negara maju yang lain sekiranya mereka ingin berjaya dan
tidak hanya bertumpu di kampung sendiri sahaja.
"Paling penting, memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan
jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di
peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk,
Perubahan Minda di Kalangan Usahawan Wanita IKS dalam Menghadapi Era
Globalisasi sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan
Pertama (1WBC) 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di
sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar.
Dr. Mahathir berkata, selain perubahan minda, usahawan wanita
tempatan juga perlu mengaplikasikan kemudahan teknologi seperti Internet
yang menjadi medium berkesan dalam mempromosikan produk ke seluruh
dunia.
"Pada masa ini, apa yang paling penting dalam menjalankan perniagaan
adalah berfikir, berkomunikasi dan bergerak dengan pantas ke mana sahaja
dan penggunaan Internet adalah cara paling berkesan," katanya.
Melalui internet, kata Dr.Mahathir, usahawan wanita dapat
mengiklankan dan mempromosikan produk mereka jauh lebih murah dan dapat
dicapai oleh seluruh penduduk dunia berbanding dengan menggunakan media
cetak dan elektronik yang jauh lebih mahal.
Dr. Mahathir berkata, aktiviti perniagaan kini banyak dilakukan
secara dalam talian dan digemari pembeli kerana ia menjimatkan masa.
Jesteru, katanya, usahawan perlu merebut peluang itu dengan
memperluaskan penggunaan Internet dengan turut menyediakan perkhidmatan
pembayaran melalui kad kredit dan khidmat penghantaran yang selamat
kepada pembeli dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, katanya, penggunaan teknologi moden dalam menghasilkan
produk yang diusahakan juga perlu bagi meningkatkan serta mempercepatkan
proses pengeluaran yang menjadi aspek penting untuk berjaya dalam
bidang perniagaan.
Beliau berkata, bagi menghadapi era globalisasi, usahawan perlu
melangkah ke hadapan dengan meningkatkan jumlah pengeluaran produk dan
tidak lagi mengeluarkan produk pada skala kecil selain memperbaiki
kualiti dan pembungkusan bagi menarik minat pengguna.
"Usahawan perlu meningkatkan kualiti dari segi rasa, bentuk,
pembungkusan dan saiznya supaya dapat bersaing dengan ratusan produk
lain yang berada di pasaran.
"Dengan cara ini, produk kampung seperti keropok lekor juga boleh dikembangkan pasarannya ke peringkat antarabangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment