KUALA LUMPUR 1 April - Penglibatan rakyat negara ini dalam industri
francais masih kurang meskipun telah banyak usaha dilakukan kerajaan
bagi mempromosikan industri berkenaan.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Abdul Malik Abdullah
berkata, sebagai contoh, hanya RM1 juta daripada RM8 juta peruntukan
bagi skim pinjaman mudah yang diberikan kerajaan digunakan selepas
sembilan bulan ditawarkan.
Katanya, pinjaman bertujuan menggalakkan kumpulan berpendapatan
rendah melibatkan diri dalam francais kecil dan mikro itu dipandang sepi
mungkin disebabkan maklumat terhadapnya tidak disampaikan secara
menyeluruh kepada masyarakat umum.
"Sehubungan itu, kini menjadi peranan golongan media untuk
menghebahkan perkara ini kepada semua supaya industri francais dapat
makmur bersama industri-industri lain," katanya ketika berucap pada Pertandingan Boling Francais Bersama Media, di sini hari ini.
Penutupan pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Turut hadir, pengerusi penganjuran pertandingan, Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO (BEPU), Datuk Sohaimi Shahadan.
Pada pertandingan itu, kategori perseorangan dan berpasangan dimenangi pasukan dari SME Bank manakala kategori trio dimenangi pasukan Sinar Harian. Masing-masing membawa pulang sijil, trofi dan hamper.
Turut diadakan, penyampaian sumbangan dana kepada Yayasan Make A Wish
bernilai RM10,000 bagi membantu kanak-kanak yang menghidapi penyakit
kronik di negara ini.
Sementara itu, jelas Abdul Malik, Franchise International Malaysia
2012 yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 Julai ini di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), dijangka dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.
"MFA amat bersyukur dengan pelbagai pendekatan kerajaan dalam
memperkasakan industri francais termasuk mengecualikan cukai bagi setiap
pembelian francais pada tahun ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment