Wednesday, 11 April 2012

Keropok lekor, kerepek ke United Kingdom

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Pelbagai jenis makanan tradisional negara akan menembusi pasaran United Kingdom (UK) terutama di Brighton dan London bulan depan.

Produk seperti ikan bilis, udang kering, keropok lekor, keropok kering, kerepek pisang, kerepek ubi serta beraneka jenis rempah ratus dijangka mula dipasarkan di Brighton pertengahan Disember ini atas inisiatif Glocal Link Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Othman Ahmad berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak yang berkenaan di Brighton dalam waktu terdekat ini sebelum membekalkan produk-produk tersebut di pasaran.

Beliau memberitahu, pada setiap minggu, sebanyak tujuh buah kontena yang membawa muatan ikan bilis dan udang kering akan dibekalkan ke Brighton untuk dipasarkan.

Selain itu, jelasnya, empat kontena mengandungi kerepek pisang, kerepek ubi, keropok lekor dan keropok kering di samping rempah ratus juga akan dihantar ke bandar raya itu setiap minggu mulai bulan depan.
"Buat masa ini, kita sudah berbincang dengan kerajaan UK serta pihak-pihak yang berkaitan di Brighton untuk pasaran produk makanan tempatan kita di sana. Selepas Brighton, kita akan perluaskan di kota raya London pula," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas mengetuai program turun padang dan mengadakan pertemuan dengan usahawan-usahawan kecil termasuk ibu tunggal dan ahli Koperasi Ummu Wahidah Terengganu (Kuwat) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keusahawanan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Abdul Ghafar Musa serta wakil-wakil dari agensi berkaitan termasuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Konsortium Industri Kecil Sederhana Sdn. Bhd.

Othman berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 320 buah outlet milik peniaga berketurunan Pakistan dan India di sekitar Brighton untuk memasarkan produk berasaskan makanan Malaysia.

Malah, katanya, pihaknya juga turut mengenal pasti lebih 700 outlet lagi di serata kota raya London bagi tujuan yang sama.

Beliau menjelaskan, usaha yang proaktif itu dilakukan berikutan permintaan tinggi terhadap produk seumpama itu di negara berkenaan.

"Kita kena lipat gandakan usaha untuk bawa produk tradisional kita ke UK setelah ada permintaan tinggi di sana," katanya sambil menambah, produk itu mendapat sambutan kerana kelebihan Malaysia yang terkenal dengan label makanan halal.

Othman berkata, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk seumpama itu ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Oman; Qatar dan Bahrain.

No comments:

Post a Comment