PROJEK Usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan atau Prosper yang diperkenalkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sudah melalui beberapa fasa transformasi.
Kini ramai usahawan Bumiputera menerokai bidang peruncitan dan pemborongan, sekali gus membuktikan peluang digunakan sepenuhnya oleh usahawan dengan bantuan dan sokongan organisasi seperti PUNB.
Ikuti temu bual wartawan Bisnes Harian Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri, bersama Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad (gambar), mengenai peluang yang boleh diambil oleh usahawan Bumiputera menerusi Prosper serta program dianjurkan PUNB sejak diperkenalkan kepada umum.
Skim Prosper diperkenalkan oleh PUNB pada 2 Ogos 2000 dan sekarang sudah 10 tahun dilaksanakan terutama dalam membantu meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan Bumiputera dalam sektor perindustrian dan perdagangan.
Selaras dengan penubuhan PUNB, Skim PKS diwujudkan untuk membantu Bumiputera menceburi perniagaan di dalam bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan Skim Prosper Runcit diperkenalkan pada 2000 bagi membantu usahawan menceburi bidang peruncitan serta diperluaskan kepada golongan profesional yang berminat dalam perniagaan.
Fokus utama operasi PUNB ialah menyediakan pakej keusahawanan bersepadu untuk membangun usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan dan PKS.
Berapa ramaikah usahawan Bumiputera yang dibantu PUNB dan berapa banyak yang sudah disalurkan kepada usahawan setakat ini?
Sehingga 31 Ogos 2010, di bawah Skim Prosper Runcit, sebanyak RM304.3 juta dana sudah diagihkan kepada 2,176 syarikat serta perniagaan dan seramai 3,758 usahawan peruncit dibangunkan membabitkan pelbagai bidang perniagaan.
Manakala, bagi Skim Prosper Siswazah, PUNB membantu 569 usahawan muda dengan pengagihan dana bernilai RM18.5 juta dan bagi Skim Pemborong Prosper, sebanyak RM201.5 juta diagihkan kepada 123 perniagaan membabitkan seramai 218 usahawan pemborong.
Setakat ini juga, PUNB sudah membangunkan kira-kira 6,000 usahawan Bumiputera yang terbabit dalam pelbagai sektor dan dari segi nilai jualan, dianggarkan bagi semua usahawan berkenaan melebihi RM4 bilion setahun.
Bagaimanakah PUNB membantu mereka yang berminat menyertai skim Prosper yang diwujudkan?
PUNB meletakkan kepentingan yang tinggi kepada kualiti usahawan dan kualiti projek yang hendak dibangunkan oleh pemohon. Ia dua kriteria utama yang menjadi penentu kelulusan sesuatu pembiayaan itu.
Di PUNB, kami lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti dan peranan PUNB berbeza dengan bank dan institusi kewangan lain kerana kami memainkan tanggungjawab sebagai pemberi pinjaman dan sebagai perunding khidmat korporat untuk membangun usahawan Bumiputera dan perniagaan mereka.
Selain itu, PUNB menawarkan beberapa jenis skim Prosper yang boleh dipilih mengikut kesesuaian pemohon iaitu Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Siswazah, Skim Pemborong Prosper dan Skim Siswazah Perantis PUNB.
Apakah perancangan PUNB bagi masa akan datang untuk terus menjadi badan bertanggungjawab membantu usahawan Bumiputera?
Kami di PUNB hanya boleh memberi pembiayaan dan khidmat nasihat kepada usahawan, namun selebihnya terletak pada diri mereka sendiri untuk terus berdaya saing serta menghasilkan kejayaan kerana usaha dan komitmen tinggi pasti membuahkan kejayaan bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai ikutan kepada usahawan Bumiputera lain.
Penubuhan cawangan wilayah PUNB yang pertama di pantai timur iaitu di Terengganu yang akan dibuka awal November ini juga membuktikan komitmen PUNB memberi perkhidmatan terbaik kepada usahawan Bumiputera di seluruh negara.
Bagaimana cara menghubungi PUNB bagi sebarang pertanyaan?
PUNB membuka peluang kepada semua usahawan Bumiputera yang ingin memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
Untuk mengetahui lebih lanjut syarat kelayakan dan proses permohonan, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol PUNB, 1300-13-7862 atau melayari www.punb.com.my.
No comments:
Post a Comment