Tuesday, 10 April 2012

Sasar 30% produk bumiputera di pasar raya besar


Rohani Abdul Karim (tiga dari kanan) menunjukkan risalah produk kek lapis ketika melawat Program Pameran Suaian Perniagaan di Kuching, Sarawak, kelmarin.



KUCHING 3 April - Kerajaan merangka pelbagai strategi dan program bagi mencapai matlamat dan sasaran penyenaraian 30 peratus produk bumiputera di pasar raya besar milik usahawan tempatan mahupun asing dalam tempoh tiga tahun lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pada masa ini peratusan penyenaraian produk bumiputera di premis berkenaan berada pada paras yang rendah iaitu 10.64 peratus.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan yakin usaha tersebut akan berjaya jika kerjasama erat di antara kementerian dan pengurusan pasar raya besar dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya amat mengharapkan produk-produk terutamanya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ada pada hari ini akan diterima dan disenarai tetap di semua rangkaian premis-premis pasar raya besar tempatan mahupun asing.

"Sokongan padu pasar raya Carefour, Giant, Tesco dan Jusco dalam membantu meningkatkan peratusan penyenaraian produk bumiputera merupakan gerbang kepada kemajuan PKS dan seterusnya kepada pencapaian matlamat kementerian," katanya pada sidang media selepas Program Pameran Suaian Perniagaan di sini, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan negeri, Datuk Md. Yahaya Basimin; Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Che Halim Ab. Rahman dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Mengenai program itu pula, Rohani memberitahu ia adalah satu usaha kementerian untuk membantu pengusaha PKS mendapat peluang pemasaran produk ke rangkaian peruncitan di seluruh negara.
Katanya, beliau yakin dengan penerimaan produk PKS dalam rangkaian peruncitan akan memberi pengiktirafan kepada produk berkenaan sekali gus mempunyai kekuatan jenama setanding dengan produk terkenal.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha PKS supaya sentiasa meningkatkan kualiti serta membuat penambahbaikan produk ke arah mencapai mutu serta nilai komersial yang lebih tinggi dan berdaya saing.
"Pengusaha PKS perlu mengamalkan amalan perniagaan yang baik supaya mendapat kepercayaan tinggi daripada pasar raya besar.

"Begitu juga di pihak pasar raya besar, perlulah bekerjasama membantu kementerian untuk mempromosikan produk PKS ke satu tahap yang lebih tinggi lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment