Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini semalam, menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan ke atas seorang pemilik kedai jahit selepas mengaku bersalah tidak mendaftarkan perniagaannya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dua tahun lalu.
Majistret Nurdiana Mohd Nazari turut memerintahkan Yong Chee Leong mendaftarkan perniagaannya dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa semalam.Chee Leong, 43, pemilik T/A Romance Fashion, didakwa mungkir untuk mendaftar perusahaannya dengan PERKESO tidak lewat dari 30 hari seperti dikehendaki mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 103 di premis perniagaannya antara jam 8.30 pagi, pada 31 Januari 2010.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 94 (g) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Chee Leong, sepatutnya didakwa pada 14 Jun lalu, tetapi dia gagal menghadirkan diri sehingga Nurdiana mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan menetapkan sebutan semalam.